fbpx
Zulkifli Hasan pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 yang berlangsung di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Saidina Uthman bin Affan, hari ini.

24,761 calon peroleh 9A UPKK 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 24,761 daripada 251,392 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025 berjaya mencatat keputusan cemerlang bagi semua sembilan mata pelajaran.

Mata pelajaran itu ialah al-Quran, Akidah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Bahasa Arab, Ibadah, Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 yang berlangsung di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Saidina Uthman bin Affan, hari ini.

Menurutnya, daripada keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan, peratus kelulusan keseluruhan UPKK 2025 adalah 89.61 peratus.

“Berdasarkan Laporan Analisis Keputusan UPKK Tahun 2025, Gred Purata Kebangsaan (GPK) mencatatkan 1.83 berbanding 1.85 pada tahun lalu. Ini menunjukkan peningkatan pencapaian yang membanggakan,” katanya.

Selain 24,761 calon memperoleh 9A, seramai 25,230 calon mendapat 8A, manakala 18,990 calon meraih 7A dan jumlah calon berdaftar meningkat kepada 252,997 orang iaitu peningkatan sebanyak 5.17 peratus berbanding tahun 2024.

Zulkifli berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pelaksanaan Kurikulum KAFA 2.0 serta format baharu UPKK yang diperkenalkan sejak tahun 2024.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi cerminan usaha guru, ibu bapa dan kesungguhan murid sepanjang lima tahun pembelajaran KAFA,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak menjadikan keputusan sebagai ukuran mutlak kejayaan, sebaliknya terus memberi sokongan moral kepada anak-anak.

Tambahnya, keputusan UPKK 2025 disifatkan sebagai manifestasi kejayaan pendidikan Islam peringkat rendah yang semakin kukuh dan inklusif di negara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI