PUTRAJAYA- Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas dalam insiden kekacauan di beberapa buah negeri di Mexico susulan operasi keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan baru-baru ini.
Bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia di Mexico City sedang memantau rapi situasi yang tidak menentu di negara berkenaan.
Wisma Putra berkata, kedutaan itu turut mengeluarkan nasihat perjalanan yang menggesa rakyat Malaysia yang kini menetap atau melancong ke Mexico untuk sentiasa berwaspada, berhati-hati dan berhemah pada setiap masa.
“Ini terutamanya di kawasan di mana operasi keselamatan sedang dijalankan. Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Pihak Kedutaan turut mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terlibat atau terjejas berikutan insiden tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurut Wisma Putra, keutamaan ketika ini adalah keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara.
“Dengan kerjasama erat bersama Kedutaan Besar Malaysia di Mexico City, kami akan terus memantau perkembangan semasa dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya.
Rakyat Malaysia di Mexico yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Mexico City melalui talian +6016–810 0579 (52-155) 2080 8355 atau [email protected]. – KOSMO! ONLINE














