AMPANG – Jenazah anak sulung kepada pelakon Amyza Aznan, Allahyarham Andre Mikhail selamat dikebumikan pukul 10.45 pagi di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang, hari ini.
Pengebumian Andre atau nama sebenarnya Andre Mikhail Khairil Izhar, 23, berlangsung lancar dalam suasana penuh hiba dengan kehadiran kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat rapat serta rakan selebriti.
Suasana bertukar pilu apabila Amyza dilihat memberikan penghormatan terakhir buat anak sulungnya itu sebelum jenazah diturunkan ke liang lahad, sekali gus meruntun perasaan mereka yang hadir.
Antara rakan artis yang turut hadir termasuk Zed Zaidi, Ellie Suriaty, Umie Aida, Didie Alias, Fauziah Nawi, Lisdawati, Ieda Moin, Norman Hakim serta Zed Zaidi selain kenalan terdekat keluarga.
Terdahulu, jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Al Khairiah Keramat AU3 sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Andre menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.15 malam Isnin di Hospital Kuala Lumpur selepas setahun berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga.
Februari tahun lalu, Amyza berkongsi berita sedih apabila anak sulungnya itu disahkan menghidap penyakit tersebut, sekali gus mengejutkan ramai pihak.
Belum sempat luka terubat, pelakon itu sekali lagi diuji apabila anak keduanya, Adrian Adam, 18, disahkan menghidap kanser tulang, berita yang turut dikongsikan menerusi media sosial dan mengundang simpati masyarakat.
Pemergian Andre meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga, malah rakan serta peminat yang mengikuti perjalanan hidupnya sepanjang berjuang melawan penyakit. – KOSMO! ONLINE














