KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) telah menunjukkan keberkesanan dalam memantau perkembangan dan pencapaian murid secara berterusan.
Buktinya kata Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh, Gred Purata Kebangsaan (GPK) menunjukkan peningkatan berterusan daripada 4.74 pada tahun 2022 kepada 4.60 pada tahun 2023 dan seterusnya 4.49 pada tahun 2024.
Sementara itu katanya, peratus calon layak memperoleh sijil turut meningkat daripada 91.6 peratus (2022) kepada 93.5 peratus (2023) dan 94.0 peratus (2024).
“PBD telah memberikan asas kukuh bagi kecemerlangan akademik walaupun tanpa peperiksaan pusat seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
“Kejayaan kohort murid yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2022, 2023 dan 2024 yang merupakan kohort murid selepas peperiksaan PT3 dibatalkan dan dimansuhkan membuktikan keberkesanan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
yang sedang dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) berkaitan PBS yang menggantikan sistem sebelum ini yang berorientasikan peperiksaan seperti UPSR atau PT3 bagi penilaian pembentukan jati diri dan masa hadapan pelajar.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, dalam memastikan keseimbangan antara akademik dan pembangunan sahsiah, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) turut memainkan peranan penting dalam PBS.
“Melalui mekanisme ini, aspek afektif dan psikomotor murid dinilai melalui penyertaan dalam aktiviti sukan, kokurikulum, nilai murni, minat dan kecenderungan murid masing-masing.
“Data bagi sesi persekolahan 2024/2025 menunjukkan bahawa penyertaan murid dalam aktiviti kokurikulum meningkat kepada 99.81 peratus berbanding 84.45 peratus pada sesi 2023/2024,” katanya.-KOSMO! ONLINE














