BURIRAM, Thailand – Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo bimbang dengan peluang pasukannya bagi saingan musim 2026 selepas mengakui jentera baharu V4 itu masih jauh daripada tahap kompetitif.
Quartararo menegaskan Yamaha memerlukan beberapa bulan lagi untuk menyiapkan jentera tersebut, sekali gus membayangkan tahun 2026 bakal menjadi hambar buat mereka.
Meskipun Yamaha meletakkan harapan tinggi kepada projek enjin V4 baharu itu untuk kembali ke landasan kemenangan, realiti pada sesi ujian di Buriram menyaksikan mereka hanya menghuni kedudukan tercorot dalam grid perlumbaan.
Berdasarkan data ujian, Yamaha ketinggalan lebih satu saat di belakang catatan masa terpantas, manakala simulasi perlumbaan yang dilakukan barisan pelumbanya juga tidak menunjukkan sebarang tanda positif.
“Saya sudah cuba berikan yang maksimum. Anda boleh lihat kami hampir tujuh ke lapan persepuluh saat lebih perlahan berbanding simulasi perlumbaan tahun lalu. Ia adalah proses yang panjang dan kami perlukan beberapa bulan lagi untuk bersedia,” katanya.
Pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘El Diablo’ itu menjelaskan masalah utama Yamaha ketika ini bukan sekadar kuasa enjin, tetapi keupayaan jentera untuk mengambil selekoh dengan lancar serta daya cengkaman yang amat lemah.
“Bagi saya, titik paling lemah adalah saya tidak mampu membelok dengan baik untuk mendapatkan catatan masa yang lancar. Dalam simulasi pecutan (sprint), saya sangat bergelut kerana tayar menjadi terlalu panas sehingga menjejaskan prestasi.
“Tahun ini, tiada kemungkinan untuk menempah petak hadapan dan Ia akan menjadi musim yang sangat mencabar kerana sebagai pelumba, anda mahu berjuang untuk kemenangan, tetapi hakikatnya kami sangat jauh daripada sasaran itu,” jelasnya. – AGENSI














