fbpx
Zulkifli beramah mesra dengan peserta pada program Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (Hamka) 2026 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN / KOSMO!

Malaysia mampu terajui dunia Islam – Zulkifli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia berpotensi muncul sebagai peneraju dunia Islam sekiranya segala kelebihan dimiliki negara digerakkan secara strategik dan berteraskan nilai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pengiktirafan terhadap model Islam Malaysia bukan hanya datang dari dalam negara, malah turut diakui sarjana antarabangsa yang mengkaji politik dan dinamika dunia Islam.

“Dalam banyak-banyak model Islam, Islam di Asia Tenggara khususnya Malaysia adalah paling sesuai dengan modeniti dan boleh menjadi model kepada dunia,” katanya ketika berucap pada Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (Hamka) 2026 di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.
Zulkifli berkata, antara faktor utama ialah struktur masyarakat majmuk yang stabil dengan majoriti Muslim dan minoriti signifikan bukan Islam, sekali gus menawarkan model pengurusan kepelbagaian yang praktikal.

Selain itu, Malaysia berada dalam kelompok negara paling aman dunia, mempunyai institusi Islam progresif serta kepimpinan yang lantang memperjuangkan isu kemanusiaan termasuk Palestin.

Beliau berkata, keupayaan rakyat menguasai bahasa Inggeris dan Arab turut menjadi kelebihan strategik dalam memperluas pengaruh dan wacana Islam di peringkat antarabangsa.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan dunia kini memasuki era tidak normal yang menyaksikan krisis nilai dan kemanusiaan semakin membimbangkan, justeru kebangkitan Islam perlu digerakkan dengan gagasan pemikiran jelas.

Katanya, perubahan tanpa idea besar hanya akan gagal sebagaimana kejatuhan syarikat gergasi seperti Nokia yang tidak mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

“Jika kita kekalkan keamanan, kukuhkan institusi dan bentuk generasi muda dengan fikrah wasatiyyah serta berteraskan nilai Malaysia Madani, tidak mustahil negara ini mampu menerajui dunia Islam,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI