fbpx
Zulkifli (tengah) merasmikan program Hamka 2026 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN / KOSMO! ONLINE

Lebih 1,000 asatizah muda berhimpun, perkukuh dakwah era digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 asatizah muda dari seluruh negara berhimpun dalam Program Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (Hamka) 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Program julung kali anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menjadi medan penyatuan fikrah dan penyusunan semula gerakan dakwah generasi baharu secara lebih strategik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Hamka bukan sekadar perhimpunan, sebaliknya platform membina ekosistem kepimpinan dakwah yang berautoriti, berkemahiran dan bersedia mendepani cabaran semasa termasuk kekeliruan autoriti agama di media sosial.
“Kita mahu asatizah muda ini bukan hanya menyampaikan ceramah, tetapi berfungsi sebagai penyelesai masalah masyarakat. Mereka perlu menguasai ilmu turath, mahir berkomunikasi, celik teknologi dan memahami realiti sosial,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian program.

Menurutnya, pendekatan baharu itu penting dalam memastikan dakwah kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap digital yang pantas berubah.

Antara kumpulan yang menyertai himpunan tersebut termasuk Daie Madani, guru KAFA, guru takmir serta mahasiswa pengajian Islam. Penyertaan turut melibatkan peserta dari Jordan, Mesir, Arab Saudi, Turkiye dan Maghribi secara dalam talian.

Pendekatan hibrid itu mencerminkan usaha memperluas jaringan nasional dan antarabangsa dalam kalangan asatizah muda, sekali gus membina solidariti kepimpinan dakwah yang lebih tersusun.

Program berkenaan turut menampilkan sesi perbincangan meja bulat dan dialog terbuka bersama menteri bagi membincangkan isu-isu semasa seperti tekanan ekonomi keluarga, cabaran kesihatan mental, krisis identiti belia serta polemik pentauliahan.

Dalam perkembangan sama, inisiatif Daie Madani dilancarkan sebagai platform jaringan nasional yang bakal melatih serta memperkasa asatizah muda sebagai penggerak komuniti di peringkat akar umbi.

Zulkifli menegaskan setiap gerakan dakwah mesti menghormati bidang kuasa negeri serta mematuhi lunas undang-undang sedia ada bagi memastikan keharmonian dan tadbir urus agama terus terpelihara.

Hamka 2026 dilihat sebagai permulaan kepada gerakan lebih besar yang akan diperluaskan ke peringkat zon dan negeri dalam tempoh terdekat, sejajar aspirasi Malaysia Madani untuk memperkukuh kesejahteraan sosial dan perpaduan ummah melalui kepimpinan agama yang progresif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI