PETALING JAYA – Kecuaian pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas sebagai Pegawai Lapang Sasar dan Tapak semasa latihan senjata api disahkan punca seorang peserta Kursus Asas Induksi Pegawai Rela cedera dua tahun lalu.
Ia susulan hasil siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung kejadian yang berlaku di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara (PLRWU) pada 15 November 2024.
Menurut EAIC, sisatan dijalankan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.
“Siasatan mendapati pihak pengurusan PLRWU tidak mengemukakan laporan polis dan laporan rasmi kepada Rela berhubung insiden tersebut.
“Selain itu, berlaku ketidakpatuhan terhadap Syarat Kelulusan Lesen/Permit Sementara Senjata Api yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah semasa latihan tersebut dijalankan, yang mensyaratkan setiap penembak dibantu pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Rela.
“EAIC syor tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat atas kesalahan di bawah perenggan 4(2)(j) kerana cuai dalam menjalankan tugas, sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 [P.U.(A) 246],” jelasnya.
EAIC turut mengesyorkan pelaksanaan pemurnian dan semakan semula prosesur operasi standard berkaitan pengendalian dan latihan senjata api oleh Rela. – KOSMO! ONLINE














