LIMA – Sekurang-kurangnya 15 orang maut selepas helikopter tentera dinaiki mereka terhempas semasa menjalankan misi menyelamat mangsa banjir di selatan Peru, lapor akhbar Mirror UK.
Tentera Udara Peru melancarkan usaha menyelamat besar-besaran selepas terputus hubungan dengan helikopter jenis Mi-17 yang dalam perjalanan dari bandar Pisco ke Chala di wilayah Caraveli.
Helikopter itu hilang dari radar sekitar pukul 4.30 petang (waktu tempatan) kelmarin. Bangkainya ditemukan oleh pasukan kecemasan di Chala pada keesokan harinya.
Helikopter tersebut membawa 11 penumpang dan empat anggota tentera. Semua penumpang termasuk tujuh kanak-kanak disahkan meninggal dunia.
“Selepas pencarian menyeluruh yang dilakukan hari ini (semalam), pasukan khas dan polis berjaya mengesan helikopter yang terputus hubungan ini. Ia ditemui di sekitar bandar Chala Viejo, daerah Chala.
“Helikopter ini digunakan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat seperti memberikan sokongan kepada komuniti terjejas akibat banjir dan bencana lain di Arequipa.
“Ia dijadualkan mengambil bahagian dalam kursus latihan payung terjun untuk kadet Tentera Udara Peru,” kata Tentera Udara Peru dalam satu kenyataan.
Ketua Polis Arequipa, Jeneral Antonio Alfredo Lamadrid Aliaga mengesahkan bahawa semua penumpang ditemui meninggal dunia.
“Pasukan forensik telah dikerahkan untuk mengalihkan semua mayat mangsa mayat,” katanya. – AGENSI














