SABAK BERNAM – Kegiatan memunggah 160 guni anak kerang tanpa lesen di sebuah jeti di Bagan Sungai Pulai, di sini, terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa semalam.
Operasi hasil rondaan dan pemantauan Jabatan Perikanan Selangor itu dijalankan kira-kira pukul 5.40 petang selepas anggota mengesan sebuah lori tiga tan dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, pemeriksaan mendapati lori tersebut sedang diisi dengan anak kerang yang dipercayai diambil dari tapak semula jadi atau tapak kultur tanpa kebenaran.
“Pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti itu dilakukan tanpa sebarang dokumen lesen atau kebenaran yang sah.
“Tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 60 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, selain lori berkenaan, pihaknya turut menyita tujuh unit tangguk bergalah halus, 160 guni anak kerang serta satu dokumen berkaitan urus niaga.
Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM107,500.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002.
“Semua barang rampasan telah dibawa ke lokasi tahanan jabatan untuk tindakan lanjut.
“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang perikanan, khususnya membabitkan sumber bernilai tinggi seperti kerang yang menjadi antara sumber ekonomi penting komuniti nelayan tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














