PONTIAN – Dua warga emas mengalami detik cemas apabila kediaman mereka dilanda ribut dan hujan lebat ketika menanti waktu berbuka puasa di Kampung Parit Marjunid, Benut, pada petang semalam.
Mariam Nor, 93, dan menantunya, Hadmah Ali, 70, hanya berdua berada di dalam rumah tiba-tiba angin kuat menerbangkan zink rumah di bahagian dapur dan tengah rumah pada kira-kira pukul 5 petang.
Menurut Mariam, dia sebelum itu telah memasak nasi dan ingin menggoreng ikan, tetapi terhenti apabila rumah pusaka yang berusia 40 tahun dilanda ribut secara tiba-tiba dari arah bahagia belakang rumah.
“Ketika kejadian saya hendak menunaikan solat asar, tiba-tiba deruan angin berbunyi dari arah belakang rumah, saya beristighfar dan terus mengalunkan bang kerana benar-benar ketakutan.
“Begitu juga dengan anak menantu saya turut cemas dan membaca ayat-ayat Al-quran kerana ketika itu hanya kami berdua yang tahu suasana yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Marjunid, Benut, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia bersyukur kerana tiada kejadian yang tidak diingini berlaku kepada dirinya dan menantunya yang keluar dari rumah setelah ribut reda bagi meminta pertolongan. – KOSMO! ONLINE














