PETALING JAYA – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengumumkan pelantikan Ahmad Radhi Maarof, sebagai Ketua Pengarah baharu agensi itu berkuat kuasa hari ini.
APAD dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan tersebut selaras komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus, memastikan kesinambungan kepimpinan organisasi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pengangkutan awam darat negara.
Menurut kenyataan itu, Ahmad Radhi mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang perancangan bandar dan pengangkutan termasuk transformasi sistem pengangkutan awam darat.
Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) APAD selama tujuh tahun dan turut melaksanakan fungsi Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) ketika berlaku kekosongan jawatan, sekali gus memperkukuh pemahaman menyeluruh terhadap aspek perancangan strategik dan pelaksanaan operasi pengangkutan awam.
Kerjaya Ahmad Radhi bermula sebagai Perunding Perancang Bandar dari tahun 1999 hingga 2012 dengan penglibatan dalam penyediaan kajian Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan Daerah sebelum menyertai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2012.
Sepanjang tempoh perkhidmatan di SPAD dan seterusnya di APAD, beliau terlibat secara langsung dalam penyediaan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat, pelaksanaan program SBST bas henti-henti di sembilan ibu negeri serta pemantauan projek kereta api dan teknologi bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam darat.
Selepas penubuhan APAD pada 2019, beliau dilantik sebagai Pengarah Bahagian Perancangan Polisi Mod Jalan sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) mulai 10 Februari 2024.
Menurut APAD, Ahmad Radhi juga merupakan calon yang dikenal pasti dalam Pelan Penggantian (Succession Plan) agensi itu selaras dengan dasar pembangunan bakat perkhidmatan awam.
“Pelantikan beliau diyakini dapat memastikan kesinambungan dasar, kestabilan organisasi serta kelangsungan agenda transformasi pengangkutan awam darat negara,” katanya.
Sepanjang perkhidmatan, beliau merupakan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 2019 dan aktif mewakili Malaysia di pelbagai forum antarabangsa berkaitan mobiliti bandar dan pengangkutan awam di peringkat Asia serta global. – KOSMO! ONLINE














