SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneliti 10 cadangan termasuk autonomi mahasiswa dalam hak mengundi dikemukakan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi menambah baik Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Cadangan lain merangkumi pembelajaran berpaksikan kemanusiaan, pembangunan bakat berprestasi tinggi, pensijilan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyelarasan bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pendidikan fleksibel serta penyampaian responsif menerusi platform U-Care AI.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau menyambut baik cadangan lonjakan transformasi dibentangkan pimpinan MPP dari institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara itu.
Jelas beliau, semua ahli MPP sama ada universiti awam atau IPT swasta dilantik menerusi proses pilihan raya dan merupakan pemimpin baharu.
“Justeru, pertemuan ini amat baik dan kita memberi ruang kepada mereka memberi pandangan untuk memperbaiki pelan pendidikan tinggi.
“Kita lihat tadi mereka membentangkan 10 cadangan dan insya-Allah sebahagian besarnya akan turut dimasukkan dalam pelan berkenaan,” katanya selepas merasmikan program Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa Rancangan Pendidikan Tinggi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, lewat petang tadi. – KOSMO! ONLINE














