JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas 42 pelbagai jenis kenderaan mewah bernilai RM22,032,304 termasuk cukai menerusi Ops Terma bermula 5 Januari lalu.
Pengarah Kastam Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, dalam operasi khas yang dijalankan itu, seramai empat individu berusia 40 hingga 50 tahun ditahan terdiri daripada pemilik premis gudang.
“Sehingga 6 Februari lalu, sebanyak 341 pemeriksaan merangkumi premis gudang berlesen serta rondaan darat telah dijalankan dan sebanyak 21 kertas siasatan kes dibuka dengan empat tangkapan melibatkan warga tempatan selain 42 kenderaan disita.
“Antara kenderaan yang disita ialah kereta jenis BMW, Lexus, Toyota Vellfire, Honda N-Box dan lain-lain.
“Nilai keseluruhan kenderaan disita ialah RM7,663,970 melibatkan cukai import berjumlah RM14,368,334 dan nilai kenderaan termasuk cukai berjumlah RM22,032,304,”katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor di sini hari ini.
Menurut Aminul, kenderaan yang disita dipercayai kenderaan yang diimport dari Jepun dan negara Eropah.
Katanya, kenderaan disita selepas pemeriksaan mendapati premis gudang berlesen ini telah melanggar syarat lesen dibawah peruntukan Seksyen 65 dan 75 Akta Kastam 1967.
“Selepas pemeriksaan dijalankan dibawah Seksyen 65, kenderaan ini disimpan di premis gudang berlesen melebihi tempoh 48 bulan. Dalam tempoh ini, premis perlu membayar cukai import.
“Manakala Seksyen 75 pula, premis didapati mengalih atau memindahkan barang dibawah kawalan Kastam tanpa kebenaran,”katanya.-KOSMO! ONLINE














