PETALING JAYA – Penduduk di sekitar Lembah Klang turut merasai gegaran akibat kejadian gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda perairan berhampiran Kota Kinabalu, Sabah tengah malam tadi.
Menerusi perkongsian di aplikasi Thread, gegaran akibat kejadian itu turut dirasai penduduk di Seri Kembangan, Putrajaya, Segambut dan beberapa kawasan sekitar Lembah Klang.
“Guys ada gempa bumi ke? Bergoyang-goyang katil dengan tngkap rumah,”soal @asyraff wahid.
“Ha samalah, saya kat Seri Kembangan Ingatkan vertigo,”komen littleprintsbyyatt.
“Aik macam mana gempa kat Sabah tapi rasa sampai Putrajaya?,”kata @faiz.joseph
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @shasha_azis76.
Bukit Segambut, Kuala Lumpur rasa kuat juga macam berjoget atas kerusi. Saya tengah makan waktu tu,”kongsinya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 12.57 tengah malam itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya memaklumkan gempa berkoordinat 7.0° utara dan 116.4° timur itu berlaku pada kedalaman 678 kilometer, kira-kira 49 kilometer barat Kudat.
Gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di Sabah selain Brunei, sebahagian Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, MetMalaysia menyatakan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE













