PORT DICKSON – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas Honda CR-V dinaikinya terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 16.6 (SPDH) arah Seremban, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.54 petang itu, kemalangan turut membabitkan sebuah lori Response Team PLUS dan pacuan empat roda rondaan PLUS.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Maslan Udin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan
sebelum kejadian, lori dan pacuan empat roda rondaan PLUS berhenti di lorong kecemasan bagi membantu sebuah kenderaan lain yang terbabas di tebing jalan.
“Ketika itu hujan lebat, permukaan jalan basah dan kawasan kejadian gelap tanpa lampu jalan. Honda CR-V yang datang dari arah sama dipercayai hilang kawalan n sebelum terbabas dan melanggar bahagian belakang lori berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, lori terbabit bergerak ke hadapan dan melanggar bahagian belakang pacuan empat roda rondaan PLUS berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kanak-kanak perempuan yang menaiki Honda CR-V mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital pada kira-kira pukul 8.10 malam manakala pemandu dan penumpang lain mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa akan dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Port Dickson hari ini. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.-KOSMO! ONLINE














