PETALING JAYA – “Macam air suam ja. Tak ada daun bawang, daun sup. Apa dah jadi bazar sekarang ni”.
Itu antara keluhan orang ramai yang kecewa dengan peniaga bazar Ramadan yang mengabaikan aspek kualiti dalam penyediaan makanan yang dijual.
Keluhan itu dibuat susulan perkongsian @Nor Afzan Mohd Rukon, yang membeli nasi ayam di sebuah bazar Ramadan di Sungai Petani, Kedah, namun sup yang diterima kelihatan terlalu jernih seperti air kosong.
“Kuah sup nasi ayam di bazar SP (Sungai Petani),” tulisnya ringkas di media sosial beserta gambar sup berkenaan yang dibungkus di dalam plastik kecil, semalam.
Orang ramai rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati terhadap para peniaga bazar yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
“Setengah peniaga mengambil kesempatan di bulan puasa mengaut keuntungan,” komen @Asma Wati Talib.
“Boleh bela ikan pelaga sup ni,” ujar Md Noor.
“Kenapa buat begitu, kasihan dekat pelanggan yang tak sempat masak. Tak rasa bersalah ke orang yang menjual?,” soal netizen yang lain. – KOSMO! ONLINE














