PETALING JAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah memberi keterangan kepada Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu berkaitan pemilikan saham dalam satu prosiding yang berlangsung pada 19 Februari lalu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Azam dipanggil untuk memberikan penjelasan berhubung pemilikan 17.7 juta saham dengan harga belian sebanyak RM1.416 juta dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd.
Beliau berkata, berdasarkan laporan awal yang diterima, jawatankuasa sedang meneliti aspek pematuhan serta keteraturan pemilikan saham tersebut oleh Azam.
“Jawatankuasa juga masih dalam proses menilai segala keterangan yang telah diperoleh serta akan memanggil saksi-saksi lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan terhadap perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jawatankuasa memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional.
Katanya, hasil siasatan dan syor pertimbangan bagi tindakan selanjutnya akan diangkat kepada pihak berkuasa termasuk sekiranya didapati wujud sebarang pelanggaran terhadap mana-mana undang-undang jenayah atau peraturan yang berkuat kuasa.
Media sebelum ini melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan bagi menyiasat isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Sementara itu, Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Azam bagaimanapun pada sidang media baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur. – KOSMO! ONLINE














