Baru reda isu sistem bunyi Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak memuaskan hati segelintir penonton, nama suaminya, Kapten Azhar pula kini trending dalam media sosial.
Diva difahamkan ada penonton merungut kurang senang melihat suami Ella terlalu lama di atas pentas, bercakap dan menyanyi seakan-akan dialah satu-satunya artis jemputan.
Diva sendiri serba salah. Bukan tak boleh menyanyi, suara Kapten Azhar ‘not bad’ tetapi pentas sebesar itu sepatutnya milik mutlak Ratu Rock itu.
Kata penonton, mereka nak tengok Ella, bukan konsert dua dalam satu sebab ada juga komen beberapa showcase dan konsert sebelum ini pun suaminya turut naik pentas. Kena pakej pulakah?
Geram pula dengan mulut netizen, ada sahaja yang tak kena, semua nak dijadikan isu. Tak baik tau!
Ella dapat terus menyanyi pun atas izin dan sokongan kuat suami tercinta. Kalau pun tak suka, janganlah melampau sangat kecam.
DIVA: Teringat pula kata-kata Datuk Awie yang dia takkan angkut anaknya, Merrah dalam konsert sebab enggan jadi buah mulut orang.














