PETALING JAYA – Orang ramai meluahkan kemarahan terhadap segelintir penjual di bazar Ramadan yang didakwa tidak prihatin terhadap kualiti makanan dijual, bahkan sudah berbau sehingga ‘terputus’ selera untuk menikmati juadah berkenaan.
Menerusi tinjauan Kosmo! di media sosial, pengguna berkongsi luahan berhubung cara masakan makanan tersebut tidak berkualiti, selain bahan digunakan juga dipilih sewenang-wenangnya.
Pengguna Thread dikenali sebagai Zaimah Taib meluahkan rasa kesal apabila kuih popia sira dibelinya di sebuah bazar Ramadan di Bandar Baru Bangi adalah berintikan kentang goreng dan bukannya sayur seperti kebiasaan.
“Hari pertama makanan bazar Ramadan, siapa dah kena scam? Contoh, popia sira inti kentang goreng. Sedih, dah lah suka popia sira, alih-alih dapat kentang goreng. Saya sendiri beli, sendiri makan, dah habis dah masuk perut. Mujur sira dan kulit popia sedap. Sayang inti letak kentang goreng,” katanya.
Seorang pengguna Thread, Natasyaazaini mendakwa, dia membeli menu roti john daging, namun tiada daging di dalam makanan tersebut.
“Roti john daging, tapi dapat roti john tak ada daging. Ada telur dengan sayur sahaja,” katanya yang memaklumkan lokasi bazar tersebut di Bangi.
Pengguna Thread, Nurulaqeella berkongsi video mengenai martabak dibeli di sebuah bazar Ramadan di Selayang yang didakwa berbau masam dengan di dalamnya mengandungi kobis yang banyak, berminyak selain ada bahagian masih mentah.
“Suami aku beratur lama nak beli martabak, akhirnya dapat macam ni dengan bau masamnya. Dua keping tu beli RM20, masa bungkus suami tak nampak dia bungkus. Memang hidup kau tak berkat lah jual macam ni. Terus buang dalam tong sampah. Ya Allah dari pukul 11 pagi teringin nak makan martabak, jahat lah,” katanya.
Pengguna Thread Shareeeeeeesaf berkongsi cucur udang dibelinya di bazar Ramadan di Kelana Jaya juga tidak masak di bahagian dalam kuih tersebut.
“Beli cucur udang hari pertama puasa. Udang pun tak semenggah, cucur pun tak masak bahagian dalam, tak ada rasa,” komennya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














