PENANTIAN pelumba sensasi negara, Muhammad Hakim Danish Ramli untuk memulakan musim penuh Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kategori Moto3 hampir berakhir menjelang Grand Prix (GP) Thailand minggu depan.
Perlumbaan sulung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram dianggap sebagai pentas terbaik buat pelumba pasukan MT Helmets-MSi itu bagi memulakan kempen 2026 kerana berlangsung di Asia Tenggara dengan cuaca yang biasa dihadapinya.
Danish menganggap faktor cuaca panas dan lembap di Thailand mungkin memberi sedikit kelebihan buat dirinya dalam proses menyesuaikan diri berbanding perlumbaan-perlumbaan di Eropah.
“Bagi pusingan pertama di Thailand nanti, saya jangka ia akan berbeza dari segi cuaca dan keadaan litar. Saya harap keadaan di sana dapat membantu saya untuk menyesuaikan diri dan meningkatkan prestasi,” katanya.
Terdahulu, pelumba berusia 18 tahun itu menamatkan sesi ujian musim sejuk di Litar Jerez, Sepanyol tetapi persiapannya sedikit terganggu apabila terlibat dalam kemalangan ketika pertengahan sesi ujian minggu lalu.
Insiden tersebut menyebabkan jentera yang ditunggang mengalami kerosakan teruk selain mengehadkan tunggangan bersama pasukan itu, namun dia bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius.
Dalam pada itu, Danish menganggap insiden kemalangan itu tidak menjadi penghalang buat dirinya, sebaliknya menjadikan ia sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran di pentas kompetitif.
“Ujian ini sangat penting kepada saya bagi mengumpul maklumat dan mendapatkan keyakinan diri. Selain itu, ini adalah peluang untuk saya mencipta keserasian dengan jentera,” ujar pelumba kelahiran Terengganu itu.














