KOTA KINABALU – Mangsa banjir dipindahkan di Kota Marudu, Pitas dan Paitan terus meningkat dengan seramai 3,685 orang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS setakat tengah hari tadi.
Seramai 2,479 orang dilaporkan berada di PPS di ketiga-tiga daerah di utara Sabah itu membabitkan peningkatan jumlah keluarga kepada 1,593 di 18 PPS berbanding 1,185 keluarga di 15 PPS sebelum ini.
Berdasarkan Perkembangan Harian Bencana yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah, daerah Kota Marudu merekodkan jumlah mangsa banjir di PPS yang tertinggi dengan seramai 1,978 orang daripada 925 keluarga.
Jumlah itu merangkumi 844 mangsa yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau (250 orang) yang baru dibuka, manakala dua PPS terdahulu, iaitu PPS SMK Tandek dan SMK Tandek II masing-masing kekal dengan 594 mangsa dan 290 orang mangsa.
Angka itu mengatasi jumlah mangsa banjir di Pitas yang kekal seramai 1,515 orang daripada 593 keluarga sejak pukul 4 pagi tadi manakala di Paitan meningkat kepada 192 orang daripada 72 keluarga, berbanding 80 mangsa pada subuh tadi.
Di Pitas mangsa ditempatkan di lapan PPS iaitu PPS Dewan Majlis Daerah Pitas (573 orang), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan II (303 mangsa), PPS SK Dandun (155 mangsa), PPS SK Salimpodon Darat (145 orang), PPS Dewan Kusilad (129 orang), PPS SK Rukom Ulu (78 orang) dan PPS Dewan Kebatasan (63 orang) dan PPS Dewan Kampung Senaja (22 orang).
Daerah Paitan pula merekodkan peningkatan sekali ganda jumlah mangsa kepada 192 orang pada berikutan peningkatan pemindahan mangsa di enam PPS di daerah itu pada pukul 8 pagi tadi.
Setakat ini seramai 62 mangsa berlindung di PPS Dewan Binsulung, diikuti PPS Rumah Pengerusi JKKK Kampung Cocos (36 orang), PPS Masjid Kaindangan (lima) dan PPS Dewan Kampung Sungai-Sungai (26), PPS Dewan Serbaguna Kampung Tangkarason (52) dan PPS SMK Pamol (11).-KOSMO! ONLINE














