fbpx
Gambar hiasan

Surau Al-Barakah sasar kutip RM600,000 bantu 100 asnaf tunai umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Surau Al-Barakah Menara Kembar Bank Rakyat menyasarkan kutipan dana sebanyak RM600,000 menerusi inisiatif Tabung Infak Umrah bagi membantu golongan kurang berkemampuan menunaikan ibadah di Tanah Suci.

Bank Rakyat dalam kenyataan memaklumkan, dana berkenaan akan digunakan untuk menaja kos umrah seramai 100 penerima terpilih daripada golongan asnaf dan kumpulan berpendapatan rendah.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan turut mendapat sokongan penuh Bank Rakyat sebagai rakan kerjasama serta Ikhlas.com, rakan rasmi AirAsia, bagi membantu mempromosikan kempen tersebut demi mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Kutipan dana dilaksanakan bermula 1 Ramadan 1447H bersamaan 19 Februari melalui kod QR Tabung Infak Umrah bagi memudahkan orang ramai untuk menyumbang secara telus dan efisien.

“Permohonan boleh dibuat menerusi borang yang boleh didapati di laman web rasmi atau di mana-mana cawangan Bank Rakyat, yang mana pemohon perlu menyertakan kisah inspirasi umrah mereka sebagai asas penilaian,” katanya hari ini.

Katanya, permohonan boleh dibuat sama ada untuk diri sendiri atau bagi pihak individu lain yang layak.

“Semua permohonan ini akan dinilai oleh jawatankuasa khas yang dilantik,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, selain membantu merealisasikan impian golongan kurang berkemampuan, inisiatif berkenaan turut bertujuan menyemarakkan budaya infak, sedekah jariah dan kebajikan dalam kalangan masyarakat.

Orang ramai diseru untuk bersama-sama menyumbang dan menyokong usaha tersebut bagi mencapai sasaran kutipan, seterusnya membuka peluang pahala berterusan serta memberi sinar harapan baharu kepada mereka yang kurang bernasib baik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI