PETALING JAYA – Keadaan di beberapa lokasi sekitar ibu kota dilaporkan ‘tenang’ hari ini pada hari pertama umat Islam menyambut bulan Ramadan.
Menerusi tinjauan dan perkongsian di beberapa laman sosial, kawasan yang sebelum ini sesak dan menjadi tumpuan orang ramai bertukar lengang pagi tadi.
Antara kawasan tersebut termasuklah di sekitar Segi Tiga Emas Kuala Lumpur Bukit Bintang yang sebelum ini sentiasa dipenuhi lautan manusia.
Berdasarkan perkongsian di Threads, kawasan tersebut sunyi sepi seperti musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika penularan wabak Covid-19 beberapa tahun lalu.
“Eh seriuslah KL tak jem pagi ini, alhamdulillah, nikmat kecil Ramadan yang besar maknanya,” tulis perkongsian di Threads.
Sementara itu, tinjauan di laman sesawang Jalannow, aliran trafik di Plaza Tol Sungai Besi menghala ke ibu negara juga kelihatan lengang meskipun hari ini adalah hari bekerja.
Menurut seorang pengguna jalan raya, keadaan trafik hari ini seperti musim cuti perayaan apabila perjalanan dari Bangi ke Petaling Jaya hanya memakan masa 40 minit, berbanding dua jam pada hari biasa.
“Hari ni ‘best’ jalan tak jem. Gerak pukul 9.50 pagi dari rumah (Bangi), pukul 10.30 pagi sampai ‘opis’ (Petaling Jaya),” katanya. – KOSMO! ONLINE














