SEBERANG PERAI – Seramai enam individu terselamat dalam kebakaran membabitkan tiga unit rumah teres dua tingkat di Taman Inderawasih, Perai di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3.23 petang itu.
Katanya, sekumpulan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan BBP Butterworth dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan.
“Kebakaran melibatkan tiga unit rumah teres dua tingkat jenis kekal (kelas A) dengan anggaran keluasan rumah 30 x 40 kaki persegi bagi setiap unit. Rumah pertama terbakar 10 peratus manakala rumah kedua (50 peratus) dan rumah ketiga (40 peratus).
“Anggota kemudiannya bertindak menjalankan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan kebakaran yang turut dibantu pasukan bomba sukarela (PBS) berhampiran,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada 5.48 petang dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan Pasukan Forensik Bomba. -KOSMO! ONLINE














