WASHINGTON – Laman perkongsian video YouTube mengalami gangguan meluas lewat semalam (hari ini di Malaysia), dengan beratus-ratus ribu pengguna seluruh dunia terjejas.
“Jika anda menghadapi masalah untuk mengakses YouTube sekarang, anda tidak bersendirian, pasukan kami sedang menyiasat perkara ini,” kata syarikat itu di laman X sambil menyertakan pautan laman bantuan.
Laman bantuan itu menyiarkan bahawa ‘masalah dengan sistem cadangan kami menghalang video daripada muncul di seluruh permukaan YouTube (termasuk halaman utama, aplikasi YouTube, YouTube Music dan YouTube Kids).’
“Halaman utama telah kembali, tetapi kami masih berusaha untuk melakukan pembetulan penuh,” katanya.
Laman web penjejakan Down Detector melaporkan lebih 300,000 aduan masalah pengguna yang berkurangan selepas memuncak kira-kira pukul 9 pagi (waktu tempatan).
Semasa gangguan paling teruk berlaku, pelawat ke halaman utama YouTube disambut dengan jemputan untuk kembali kemudian.
YouTube milik Google adalah platform perkongsian video terbesar dunia, dengan lebih 2.5 bilion pengguna aktif menggunakan laman web itu setiap bulan. – AGENSI














