PETALING JAYA – Selepas setahun berdepan ujian anak Andre Mikhail didiagnosis kanser paru-paru tahap tiga, pelakon Amyza Aznan memaklumkan prosedur rawatan terbaharu puteranya tidak dapat dijalankan seperti dirancang susulan komplikasi tumor yang kian rumit.
Menurut Amyza, 51, kegagalan prosedur tersebut berpunca daripada komplikasi tumor sehingga menjejaskan fungsi paru-paru anaknya.
“Tak tahu nak cakap apa, tidak jadi sedut air sebab tiada air dalam paru-paru. Kata pakar, bukan air tapi saiz tumor yang membesar dan menyebabkan paru-paru kanan ‘collapse’.
“Nak tahu berapa saiz tumor dan semuanya kena tunggu giliran MRI (pengimejan resonan magnet) lagi sebulan.
“Semoga ada keajaiban buatmu anak, Andre Mikhail,” katanya dalam hantaran InstaStory.
Pelakon drama Bawah Payung Awan itu turut mendedahkan bahawa saiz ketumbuhan tersebut masih belum mengecut ke tahap yang membolehkan pembedahan besar dilakukan.
“Prosedur (sepatutnya) membuang air di paru-paru kanan, bukan membuang tumor. Tumor masih belum kecut untuk proses pembedahan.
“Saiz dari 18 sentimeter kali terakhir proses ‘CT scan’ (pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer) hanya mengecut ke 14 sentimeter sahaja,” tuturnya lagi.
Pada masa sama, Amyza memohon titipan doa daripada orang ramai agar urusan rawatan anaknya dipermudahkan.
“Dengan rendah hati ingin memohon doa kalian buat anakanda saya Andre Mikhail Khairil Izhar yang akan menjalani prosedur rawatan tumornya.
“Hanya Allah SWT yang membalas segala doa kalian, “jelasnya.
Andre sebelum ini dimasukkan ke Hospital Ampang sebelum doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan di bahagian paru-parunya.
Amyza kemudian mengesahkan Anfre menghidap kanser paru-paru tahap tiga. – KOSMO! ONLINE














