fbpx
Tengku Permaisuri Norashikin berkenaan melawat Dr. Shareena sambil diiringi Shahrin dan Ruzita di wad Hospital Shah Alam. Foto AFIQ RAZALI/ KOSMO!

Pokok tumbang: Dua pensyarah tetap fikir pelajar, tugas walaupun cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Dua pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang cedera dalam kejadian pokok tumbang di Seksyen 7 di sini menunjukkan komitmen tinggi apabila memikirkan tanggungjawab termasuk sistem pemarkahan semester walaupun dirawat di Hospital Shah Alam (HSA).

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, beliau sendiri tersentuh melihat dedikasi yang ditunjukkan Dr. Nur Shahidah Ab. Aziz, 39, dan Dr. Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, sebagai pendidik.

“Kedua-dua mereka sihat, alhamdulillah. Proses rawatan dan pemulihan berjalan lancar dan tiada kecederaan teruk. Mereka ceria dan boleh berbual seperti biasa.

“Saya terharu kerana dalam keadaan menahan sakit, mereka masih risau tentang kerja hakiki termasuk sistem pemarkahan yang belum diselesaikan. Itu menunjukkan tahap komitmen dan integriti yang tinggi,” katanya ketika ditemui di HSA hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Pengarah HSA, Dr. Ruzita Othman dan Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad dan Pengarah Jabatan Landskap MBSA, Majidah Md. mengiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan melawat mangsa.

Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro Canselor UiTM meluangkan masa selama setengah jam dan berkenan menyampaikan buah tangan kepada dua pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Kimia (FKK) UiTM Shah Alam.

Shahrin berkata, kedua-dua pensyarah itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan meskipun menerima jahitan luar dan terpaksa menggunakan pendakap leher.

“Saya dimaklumkan jika keadaan makin stabil, mereka mungkin dibenarkan keluar wad dalam masa beberapa hari lagi. Esok mereka akan memulakan fisioterapi ringan,” ujarnya.

Katanya, tempoh pemulihan dijangka mengambil masa tiga bulan kerana melibatkan kecederaan saraf, namun ia bergantung kepada tahap kesembuhan masing-masing.

Dalam pada itu, Shahrin berkata, Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan keprihatinan dan berpesan kepada dua pensyarah tersebut supaya memberi tumpuan kepada proses pemulihan.

Mengulas mengenai kejadian itu, katanya, ketika kejadian kedua-dua mangsa baru selesai menghadiri mesyuarat khas fakulti bersama Timbalan Naib Canselor Akademik sebelum keluar makan tengah hari.

“Mereka tidak menyangka insiden itu berlaku ketana tiada angin dan hujan. Pokok tersebut tumbang secara tiba-tiba,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN