MELBOURNE – Kerajaan negeri Victoria secara tegas menolak cadangan untuk memindahkan perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Australia ke Litar Albert Park, sekali gus memastikan Phillip Island kekal sebagai tradisi saingan berprestij dua roda itu.
Keputusan tersebut dibuat selepas meneliti permohonan daripada MotoGP Sports Entertainment Group (SEG) atau sebelum ini dikenali sebagai Dorna Sports, yang berhasrat memindahkan perlumbaan ke litar Formula Satu (F1) itu.
Meskipun Phillip Island merupakan litar ikonik yang digemari barisan pelumba dunia, pihak penganjur sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai kemudahan infrastruktur yang didakwa tidak lagi memenuhi standard kelas dunia bagi penganjuran MotoGP.
Selain faktor kemudahan, isu kehadiran penonton yang merosot serta kedudukan litar yang agak jauh dari pusat bandar raya Melbourne menjadi antara alasan utama pihak penganjur mahu beralih ke Albert Park.
“GP Australia sudah sinonim dengan Phillip Island dan Victoria berbangga untuk terus memberikan sokongan. Kami secara rasmi menolak permintaan MotoGP SEG untuk berpindah ke Albert Park.
“Sebagai acara sukan antarabangsa terbesar di wilayah serantau Australia, perlumbaan MotoGP membawa puluhan ribu peminat ke Phillip Island setiap tahun. Ia adalah nadi kepada pelancongan, perniagaan tempatan dan peluang pekerjaan di sini,” katanya Victoria dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, kontrak Phillip Island sebagai hos penganjuran GP Australia akan berakhir pada penghunung musim 2026, namun dengan komitmen kewangan terbaharu daripada kerajaan negeri, litar itu dijangka kekal dalam kalendar perlumbaan dunia untuk tempoh lebih lama. -AGENSI














