GIRONA – Barcelona terus dihimpit tekanan dalam perebutan kejuaraan La Liga apabila tewas 1-2 kepada Girona dalam aksi di Stadium Montilivi, awal pagi tadi.
Kekalahan itu menyaksikan juara bertahan gagal merampas kembali kedudukan teratas liga sekali gus memberi ruang kepada Real Madrid kekal di puncak carta dengan kelebihan dua mata.
Skuad kendalian Hansi Flick sebenarnya menguasai permainan sejak awal, namun ketumpulan penyudah menghantui mereka apabila percubaan Raphinha dan penalti Lamine Yamal sekadar mengenai tiang pada babak pertama.
Barcelona mendahului menerusi tandukan Pau Cubarsi pada minit ke-59, tetapi kelebihan itu hanya bertahan tiga minit apabila Girona menyamakan kedudukan sebelum Fran Beltran meledak gol kemenangan pada minit ke-87.
“Kami kurang dalam banyak aspek. Kami perlu menilai diri sendiri dan memperbaiki banyak perkara,” kata Cubarsi.
Menurutnya, Barcelona perlu belajar mengawal perlawanan selepas mendahului kerana kegagalan mempertahankan kelebihan menjadi punca utama mereka dihukum lawan.
“Selepas kami menjaringkan gol, mereka terus bangkit. Kami memberi ruang terlalu cepat dan itu sesuatu yang perlu diperbaiki. Kami perlu kekal fokus dan terus bekerja keras,” jelasnya.
Keputusan itu turut menamatkan momentum Barcelona yang kini tewas dua perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan, sekali gus meningkatkan tekanan dalam perebutan gelaran musim ini.
Girona pula memanfaatkan sepenuhnya peluang di hadapan penyokong sendiri untuk bangkit daripada prestasi tidak menentu, manakala Barcelona terpaksa menelan hakikat bahawa perebutan takhta liga kini kembali terbuka. – AGENSI














