LONDON – Pemburuan gelaran quadruple oleh Arsenal kini menjadi semakin getir selepas pasukan itu dilanda krisis kecederaan pemain sekali gus meletakkan impian mereka itu menjadi pertaruhan besar.
Pengendali pasukan, Mikel Arteta mengakui peningkatan jumlah pemain yang berada dalam senarai bilik rawatan menggusarkannya biarpun berjaya mengesahkan tempat ke pusingan kelima Piala FA selepas membenan Wigan 4-0 di Emirates awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, dua pemain pertahannya, Ricardo Calafiori terpaksa diketepikan apabila mengalami kecederaan ketika sesi pemanas badan, manakala Ben White hanya mampu beraksi pada babak pertama sahaja.
Sementara itu, ketua pasukan, Martin Odegaard diketepikan sejak aksi menentang Brentford dan Kai Havertz yang baru pulih terpaksa kembali berehat sehingga hujung Februari serta Mikel Merino yang sudah melupakan baki saingan musim ini.
Ketika ini, Arsenal yang muncul pendahulu Liga Perdana Inggeris turut mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara serta bakal menentang Manchester City di final Piala Liga Inggeris, namun situasi semasa jelas memberi isyarat tidak baik buat Arteta.
“Sebelum ini, isu kecederaan melanda barisan serangan, kemudian pertahanan dan kini kami kehilangan beberapa pemain tengah. Kami akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Kami perlukan mereka kembali lebih cepat dan cergas sepenuhnya. Bulan sahaja jumlah pemain, tetapi pilihan berbeza yang kami boleh dapatkan bagi menyesuaikan keperluan pasukan berdepan lawan yang berlainan,” katanya.
Pada aksi menentang Wigan, Arsenal menepati ramalan apabila menang selesa hasil jaringan Noni Madueke, Gabriel Martinelli dan Gabriel Jesus selain gol sendiri jaringan Jack Hunt.
The Gunners bakal membuat persiapan untuk menentang Wolves pada aksi EPL awal pagi Khamis ini sebelum turun aksi derbi London menentang Tottenham Hotspurs pada awal pagi Isnin depan. – AGENSI














