fbpx
ALICE CHANG

Alice sasar pentas kalah mati di London

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pemain pingpong wanita negara, Alice Chang meletakkan sasaran realistik untuk membantu skuad negara melangkah ke peringkat kalah mati pada Kejohanan Berpasukan Dunia di London dari hujung April hingga Mei ini.

Menurut Alice, musim kali ini memberi kelebihan dari segi fokus apabila kalendar sukan tidak dibayangi temasya besar seperti Sukan SEA, sekali gus membolehkan persiapan lebih tersusun menjelang pentas dunia tersebut.

“Bagi saya, setiap tahun adalah peluang baharu. Tahun ini tiada Sukan SEA kerana edisi lalu baru berlangsung dan yang seterusnya tahun depan. Jurulatih juga beri kami rehat seminggu untuk segarkan semula fizikal dan mental,” katanya.

Pemain berusia 24 tahun itu yang membuat penampilan sulung pada edisi 2016 di Kuala Lumpur mengakui pencapaian terbaiknya bersama pasukan setakat ini adalah menamatkan saingan dalam kelompok 24 terbaik dunia.

“Keputusan terbaik kami adalah top 24 termasuk pada edisi terakhir di Busan tahun lalu,” ujarnya.

Bagaimanapun, Alice optimis skuad negara mampu melangkah lebih jauh kali ini dengan sasaran utama melepasi saingan peringkat kumpulan sebelum memburu tempat ke pusingan kalah mati.

“Secara peribadi, saya harap kami boleh mara ke peringkat kalah mati. Dalam kumpulan ada Amerika Syarikat dan kami perlu ambil langkah demi langkah untuk cuba menewaskan mereka,” katanya.

Alice turut mengimbau kejayaan menundukkan Itali pada edisi lalu sebelum tewas kepada Republik Korea, namun tetap berjaya mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama.

Mengulas format pertandingan, Alice menjelaskan setiap perlawanan menampilkan tiga aksi perseorangan dan pasukan yang terlebih dahulu mengumpul tiga mata akan diumum sebagai pemenang.

“Formatnya tiga perseorangan. Pasukan yang capai tiga mata dahulu akan menang. Jika terikat dua sama, akan ada penentuan seterusnya,” jelasnya. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN