SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) menggalas misi ‘hidup mati’ untuk meneruskan status selaku wakil terakhir negara dalam kejohanan bertaraf Asia pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang kelab Jepun, Vissel Kobe di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Sebagai rekod, skuad Harimau Selatan ketika ini mengumpul lapan mata selepas mengharungi tujuh perlawanan di posisi ke-7 dan berkongsi mata yang sama dengan dua kelab Korea Selatan, Gangwon FC dan Ulsan HD.
Memandangkan hanya lapan kelab terbaik di pusingan liga Zon Timur yang akan layak ke pusingan 16 nanti, JDT wajib meraih keputusan positif untuk mengesahkan slot automatik bagi mengelak dipintas pada aksi terakhir nanti.
Pengendali JDT, Xisco Munoz mengakui anak-anak buahnya perlu memperbaiki kelemahan dan elak daripada lakukan kesilapan jika berhasrat untuk mengulangi pencapaian mara ke pusingan 16 terbaik ACLE seperti musim lalu.
“Sekarang kita fokus pada perlawanan terakhir menentang Vissel Kobe. Barisan pemain telah berusaha keras sejak beberapa perlawanan lalu dan saya harap kita dapat belajar daripada pengalaman.
“Dalam saingan ACLE, sangat penting untuk pasukan kekal dengan 11 pemain ketika menentang mana-mana pasukan,” katanya.
Pada aksi ACLE menentang satu lagi kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima minggu lalu, JDT terpaksa akur beraksi dengan 10 pemain apabila Jonathan Silva dilayangkan kad merah seawal minit ke-17 sekali gus menjejaskan misi pasukan untuk melakar kejutan apabila tewas 1-2.
Sementara itu, kapten JDT, Afiq Fazail menganggap sikap ‘menyerah kalah’ tiada dalam kamus pemain JDT dan rakan-rakan sepasukan dituntut untuk terus berjuang sehingga wisel penamat.
“Saya harap pasukan dapat menggandakan usaha selepas ini. Tumpuan penuh wajar diberikan pada aksi terakhir liga dan kita akan beri yang terbaik untuk hadiahkan kemenangan di laman sendiri,” kata Afiq.
JDT sudah beraksi dalam kejohanan peringkat kelab paling berprestij di Asia itu sejak 2019 dan berjaya lolos ke pusingan kalah mati sebanyak dua kali pada edisi 2022 dan 2024/2025.
Pada musim lalu, misi JDT untuk melakar sejarah berada dalam kelompok lapan kelab terhebat Asia tidak kesampaian selepas tewas 0-1 kepada seteru, Buriram United di pusingan 16 terbaik.














