BEIJING – Seorang lelaki di China terkejut apabila hadiah cabutan bertuah berupa iPhone yang diterimanya dalam majlis tahunan syarikat berisi jubin seramik dan gula-gula, lapor portal berita Must Share News.
Perkara itu dikongsi seorang pekerja dikenali sebagai Hou di media sosial.
Hou berkata, syarikatnya mengadakan sebuah majlis sambutan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina sebagai tanda penghargaan ke atas kerja keras semua pekerja.
Antara hadiah cabutan bertuah yang ditawarkan adalah wang tunai dan iPhone 17 Pro Max bernilai lebih 10,000 yuan (RM5,651).
“Apabila nama saya dipanggil, saya terkejut kerana menang iPhone 17 Pro Max. Saya tidak terus membuka hadiah itu, sebaliknya ia dibawa pulang dan saya meminta isteri saya membukanya,” kata Hou.
Dia dan isterinya terkejut apabila menerima gula-gula dan dua jubin seramik di dalam kotak iPhone tersebut. Penemuan mengejutkan itu membuatkan Hou berasa ditipu dan dimalukan secara terbuka.
Selepas menghubungi individu yang bertanggungjawab di syarikat tersebut, Hou dimaklumkan bahawa pengurus acara telah menukar iPhone itu tanpa pengetahuan sesiapa.
“Saya tidak hairan dengan telefon itu tetapi mahukan permohonan maaf yang ikhlas kerana telah dimalukan,” tambahnya.
Majikannya kemudian memohon maaf kepada Hou dan memberikannya telefon sebenar. – AGENSI














