fbpx
Azalina berucap pada Majlis Pelancaran Program Dasar Peluang Kedua - Pelepasan Fast Track 2026 di Putrajaya hari ini.

Lebih 381,000 kes pelepasan bankrap berjaya diselesaikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Jabatan Insolvensi berjaya menyelesaikan sebanyak 176,851 kes pelepasan bankrap bagi tahun 2024 dan 204,487 kes pelepasan pada tahun lalu, sekali gus melepasi sasaran ditetapkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jumlah tersebut bukan angka semata-mata, tetapi kehidupan lebih 381,000 individu yang mendapat nafas baharu.

“Insolvensi bukan sahaja memberi bebanan kepada individu dan syarikat yang digulungkan, malah ia merugikan kerajaan kerana ia menghalang individu atau syarikat yang bankrap untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan negara terutamanya golongan belia.

“Pada tahun 2025, kerajaan melaksanakan penambahbaikan kepada inisiatif ini dengan Dasar Peluang Kedua turut diperluaskan kepada syarikat yang telah digulungkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Dasar Peluang Kedua – Pelepasan Fast Track 2026 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Dasar Peluang Kedua Fast Track itu bertujuan mempercepatkan mekanisme pelepasan bagi empat golongan kumpulan sasar bankrap bagi membantu mereka bangkit semula membina kehidupan.

Katanya, golongan itu membabitkan ibu atau bapa tunggal, usahawan pinjaman mikro, mangsa penipuan kewangan selain peminjam perumahan bagi projek perumahan terbengkalai.

“Maka, ibu atau bapa tunggal dapat kembali bekerja, usahawan boleh berniaga semula dan mangsa scam mampu menarik nafas lega,” katanya.

Sementara itu, menerusi sidang akhbar, Azalina berkata, permohonan pelepasan boleh dibuat secara dalam talian.

Katanya, Ketua Pengarah Insolvensi juga memberi komitmen bahawa proses tersebut boleh diselesaikan dalam tempoh kira-kira 36 hari sahaja.

“Kelayakan permohonan tidak tertakluk kepada had umur atau tempoh tertentu, sebaliknya berdasarkan situasi kebankrapan yang dihadapi pemohon,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI