PETALING JAYA – Soalan bila nak kahwin sering kedengaran setiap kali musim perayaan atau majlis keluarga, walaupun hakikatnya ia boleh memberi tekanan kepada sesetengah individu.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM), digambarkan suasana malam makan besar Tahun Baharu Cina dengan meja penuh lauk dan ahli keluarga dalam keadaan gembira.
Namun, tiba-tiba muncul satu soalan yang sering jatuh seperti penyepit besi atas pinggan iaitu bila nak kahwin?
Menurut PHM, soalan itu nampak biasa, tetapi bagi individu yang sedang berjuang dengan kehidupan, kewangan, trauma lama atau sekadar belum bertemu orang yang betul, ia bukan sekadar soalan, sebaliknya boleh menjadi tekanan.
“Hakikatnya, berkahwin bukan satu perlumbaan. Ia bukan soal umur, bukan kerana adik sudah berkahwin dan bukan kerana orang lain sudah mendahului.
“Perkahwinan adalah keputusan besar yang memerlukan jiwa yang stabil, pasangan yang selamat dan masa yang sesuai, bukan jawapan untuk menutup mulut orang.
“Jika ditanya, individu boleh menjawab secara lembut seperti, doakan yang baik-baik, bila saya bersedia, saya maklum,” kata PHM.
Mengulas lanjut, mereka yang gemar bertanya disaran menukar soalan kepada bentuk lebih prihatin seperti, apa yang awak sedang usahakan sekarang, awak okey tak atau apa yang boleh saya doakan.
“Kadangkala seseorang tidak memerlukan nasihat, sebaliknya hanya ruang untuk bernafas tanpa dinilai. Keluarga perlu diraikan tanpa memaksa orang lain mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














