KLANG – Tindakan bersepadu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Port Klang berjaya mengesan 911,000 kilogram sisa elektronik (e-waste) sejak hujung Januari lalu.
Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pengesanan itu hasil pemeriksaan terhadap 116 buah kontena di Pelabuhan tersebut bermula 26 Januari lalu.
“Hasilnya didapati 43 daripada kontena itu positif mengandungi e-waste dan plastik yang seberat 911,000 kilogram,” katanya malam ini.
Beliau memaklumkan, rampasan terbaharu membabitkan tiga buah kontena mempunyai sejumlah 61,741 kg campuran e-waste dan kabel hasil pemeriksaan di tapak pemeriksaan CFS 4 Pelabuhan Barat kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Jelasnya, kesemua kontena masuk ke dalam negara seawal Julai 2025 hingga bulan lalu.
“Kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang sama sekali menurut Akta
Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Kontena-kontena e-waste akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan JAS pusat bagi tujuan penghantaran semula,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














