KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah berkenan mencemar duli bersama lebih 10,000 rakyat menyertai Walkathon D’ Raja-Walk With Me 2026 bermula dari Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.
Baginda berdua tiba di pekarangan stadium kira-kira pukul 11.18 malam sebelum merasmikan program tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Kedua-dua baginda kemudian berjalan kaki bersama rakyat sejauh 3.2 kilometer.
Terdahulu, peserta Walkathon D’ Raja-Walk With Me 2026 turut menyaksikan gimik pelancaran pertunjukan 350 dron dengan 10 formasi termasuk wayang kulit, gasing, beca, pintu gerbang dan rebana ubi.
Seorang perserta Walkathon D’ Raja-Walk With Me 2026, Atiq Shafie, 33, berkata, dia bersama rakan sekerja teruja untuk menyertai program tersebut buat kali pertama.
Katanya, dia bertolak dari Bachok kira-kira pukul 6.30 petang bagi mengelak kesesakan lalu lintas.
“Saya sangat teruja kerana dapat bertemu mata dengan Sultan dan Sultanah Kelantan pada acara ini. Peluang untuk berjalan bersama baginda berdua akan dijadikan sebagai kenangan buat saya sepanjang hidup,” katanya.
Seorang pelajar, Nik Nur Adriana Balqis Nik Mohd. Azan, 16, juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai Walkathon D’ Raja-Walk With Me 2026.
Katanya, dia yang berasal dari Kelantan, namun menetap di Kedah pulang sempena cuti persekolahan bersama keluarga ke kampung kelmarin.
“Saya datang bersama ibu, abang dan dua adik untuk menyertai acara ini. Sebagai rakyat Kelantan, saya bertuah dan bangga dengan baginda yang sanggup meluangkan masa untuk berjalan bersama rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














