TUMPAT – Cubaan sindiket untuk menyeludup sebanyak dua tan minyak masak peket bernilai RM4,957 gagal selepas kegiatan itu dikesan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan di pangkalan haram Lan Bundle, Lubok Gong dekat Rantau Panjang tengah malam tadi.
Serbuan dijalankan kira-kira pukul 12.30 tengah malam semasa anggota penguat kuasa KPDN bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 3 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) melihat sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak minyak masak ke dalam perahu.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, menyedari kehadiran pasukan pihak berkuasa, kesemua suspek terus bertindak menaiki bot dan lari ke sebelah Thailand.
Menurutnya, pemeriksaan di tebing pangkalan haram itu membawa kepada penemuan sebanyak 500 kilogram minyak masak peket yang ditinggalkan di kawasan tersebut.
“Selain itu, kami turut menjumpai 1.5 tan minyak masak peket di dalam dua buah kereta jenis Proton Waja dan sebuah kereta Proton Wira Aeroback.
“Siasatan lanjut mendapati, ketiga-tiga buah kereta yang dianggarkan bernilai RM15,000 itu digunakan oleh penyeludup untuk mengangkut kesemua minyak masak dari luar Kelantan untuk dibawa ke pangkalan haram,” katanya pada sidang media selepas Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Aswadi memberitahu, kesemua minyak masak dan tiga buah kereta itu selepas tiada individu tampil menuntut barangan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














