fbpx
Gambar hiasan

KPDN siasat pasar raya jual minyak masak bersubsidi kepada warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan sebuah pasar raya di Bangi membenarkan warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN telah digerakkan ke premis itu untuk melakukan pemeriksaan.

“Yang itu (pasar raya benarkan warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi) pegawai kita pergi (periksa) hari ini. Esok kita akan maklumkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Terdahulu, Kosmo! hari ini melaporkan tentang dakwaan pengguna Threads, Nurul Aishah yang terkejut apabila mendapati warga asing dengan mudah membeli minyak masak peket bersubsidi secara terbuka di sebuah pasar raya di Bangi.

Dakwaan itu dikongsikan menerusi beberapa hantaran rakaman video yang memaparkan situasi di sebuah premis yang menurutnya berlaku baru-baru ini.

“Sejak bila minyak peket boleh jual dekat warga asing? Lepas aku tegur dan rakam, barulah staf suruh letak balik minyak peket tu,” katanya dalam hantaran tersebut.

Dia mendakwa, seorang lelaki warga emas yang turut berada di lokasi itu gagal mendapatkan bekalan minyak masak peket kerana stok didakwa telah habis lebih awal.

Dalam hantaran berasingan, dia turut mendakwa menyaksikan taktik tertentu yang digunakan warga asing bagi mendapatkan bekalan minyak bersubsidi itu.

Dakwanya, warga asing berkenaan mengambil minyak peket dan meletakkannya ke dalam troli individu lain sebelum menyerahkan wang untuk dibayar di kaunter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI