BATU PAHAT – Hanya imam dan pelajar tahfiz yang sudah ditauliahkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sahaja yang dibenar untuk memimpin atau menjadi imam dalam solat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadan di negeri Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sehingga hari ini tiada permohonan oleh mana-mana masjid atau surau di negeri Johor untuk mendapatkan khidmat imam luar samada dari negeri-negeri lain dalam atau luar negara.
Jelasnya, bagi mana-mana surau atau masjid yang ingin mendapatkan khidmat pelajar tahfiz sebagai imam, mereka masih dibenarkan membuat permohonan hingga esok sebelum cuti Tahun Baru Cina pada Selasa.
“Tidak perlu untuk mendapatkan khidmat imam dari luar kerana imam sedia ada selain pelajar tahfiz berkelayakan sudah memenuhi kriteria bacaan yang sempurna untuk memimpin solat sunat tarawih.
“Pelajar tahfiz yang dipilih untuk menjadi imam juga perlu mempunyai kebenaran khas daripada JAINJ sebelum boleh menjadi imam,” katanya kepada pemberita.
Mohd Fared berkata demikian ketika ditemui dalam Program Budi Afri-Komoditi yang dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Dewan Sri Sulong, Parit Sulong, Batu Pahat hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Fared mengingatkan kepada peniaga-peniaga yang menjual makanan sepanjang bulan Ramadan ini agar mematuhi ketetapan yang telah ditetapkan iaitu bermula pukul 3 petang. – KOSMO! ONLINE














