PETALING JAYA – Laman Facebook rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilaporkan telah diambil alih tanpa kebenaran oleh pihak tidak bertanggungjawab, semalam.
Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, susulan insiden itu beberapa pentadbir (admin) sah telah dikeluarkan daripada akses halaman berkenaan selain wujud hantaran yang menyerang parti serta kepimpinan tertinggi.
“Tegas saya nyatakan, kandungan yang dimuat naik itu adalah tidak sah, tidak mewakili pendirian rasmi parti dan dibuat tanpa sebarang kebenaran daripada kepimpinan Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak parti telah mengenal pasti individu yang dipercayai terlibat dan individu tersebut merupakan salah seorang pentadbir halaman serta mempunyai kaitan dengan seorang pemimpin parti yang dipecat daripada jawatan semalam.
“Bersatu memandang serius tindakan ini kerana ia melibatkan pencerobohan akses digital dan penyalahgunaan platform komunikasi rasmi parti yang boleh mengelirukan ahli serta masyarakat umum,” ujarnya.
Beliau berkata, laporan rasmi telah dibuat kepada pihak Facebook (Meta) bagi memulihkan akses halaman, selain aduan dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan satu laporan polis turut dibuat untuk siasatan jenayah.
“Tindakan ini dipercayai melibatkan kesalahan di bawah Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan termasuk penipuan, pemalsuan dan fitnah sekiranya kandungan berunsur memfitnah,” jelasnya.
Katanya, Bersatu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat. – KOSMO! ONLINE














