KERINDUAN peminat akhirnya terubat selepas drama popular, Keluarga Iskandar musim ketiga mula disiarkan sejak 6 Februari lalu.
Naskhah yang masih mengekalkan barisan pelakon asal seperti Kismah Johari, Hilal Azman, Azhar Sulaiman, Zain Ruffedge dan Azman Iskandar tersebut menjadi bualan hangat netizen sehingga tular dalam media sosial.
Rata-rata mengakui teruja kerana drama yang kali terakhir diterbitkan 13 tahun lalu kembali menemui penonton.
“Kecewa juga watak Acu yang selalu berbalah dengan Mak Jah tiada kali ini tetapi tak mengapa, tetap sayang Keluarga Iskandar.
“Drama paling ‘real’, terima kasih sebab kembalikan keluarga kesayangan rakyat Malaysia,” komen netizen.
Meski beberapa watak seperti Acu tidak tersenarai kali ini, Keluarga Iskandar arahan Wan Hazliza Wan Zainuddin itu tetap berjaya mencuri perhatian ramai.














