fbpx
Menteri MOSTI, Chang Lih Kang (enam dari kiri); Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Mohammad Yusof Apdal (enam dari kanan); dan CEO MRANTI, Ashran Ghazi (lima dari kiri) bergambar bersama wakil syarikat alumni NTIS pada Sambutan Pencapaian 5 Tahun NTIS di Pusat Konvensyen Setia City, kelmarin.

Daripada idea menjadi realiti: 5 tahun NTIS pacu inovasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) membuktikan keberkesanan sebagai pemangkin inovasi negara apabila berjaya menyokong pengko­mersialan 101 teknologi tempatan dengan nilai mencecah RM171.8 juta sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaannya sejak 2020.

Menteri Sains, Teknologi dan Ino­vasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, pencapaian tersebut menunjukkan keupayaan inovasi tempatan bergerak melangkaui fasa pengujian dan prototaip, sete­rusnya menembusi pasaran sebenar melalui pendekatan sandbox.

Sandbox ialah ruang khas yang membenarkan syarikat atau inovator menguji idea baharu dalam keadaan sebenar, tetapi dengan risiko dan peraturan yang dikawal.

Kini terdapat 16 tapak sandbox nasional merentasi pelbagai sektor termasuk Pertanian, Robotik & Automasi, Pendidikan Berteknologi Tinggi, Bandar Pintar Lestari dan Kecerdasan Buatan (AI).

“Dalam kerangka Malaysia MADANI, inovasi bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan strategik yang menjana nilai baharu, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memacu pertumbuhan sektor bernilai tinggi negara,” tegas Lih Kang ketika berucap pada Majlis Sambutan Pencapaian Lima Tahun NTIS, sempena Simposium Lima Tahun NTIS kelmarin.

Menurut beliau, kejayaan NTIS turut diterjemahkan melalui pembentukan 333 peluang pekerjaan berkemahiran, khususnya dalam sektor teknologi dan industri bernilai tinggi, menyumbang kepada peningkatan daya saing bakat tempatan.

Dari sudut keterbukaan pasaran antarabangsa, sebanyak 14 penyelesaian teknologi yang dibangunkan menerusi NTIS berjaya me­nembusi pasaran global dengan nilai eksport berjumlah RM122.8 juta.

Lih Kang berucap pada Majlis Sambutan Pencapaian Lima Tahun NTIS.

Antaranya teknologi kecerdasan buatan bagi pemeriksaan jalan raya oleh Urban Explorer Sdn. Bhd. yang digunakan di Arab Saudi, serta sistem pengimbasan kese­lamatan kargo dan bagasi oleh Billion Prima Sdn. Bhd. di Indonesia.

Ini membuktikan bahawa teknologi tempatan bukan sahaja relevan di peringkat domestik, malah mampu bersaing dan dite­rima di peringkat global.

Lih Kang berkata, kejayaan NTIS membuktikan bahawa model sandbox berfungsi dengan berkesan dalam ekosistem Malaysia melalui kolaborasi antara kerajaan, industri, pengawal selia dan inovator, selain mempercepatkan laluan daripada pembangunan teknologi kepada pengkomersialan.

“Seiring peralihan ke Ranca­ngan Malaysia Ke-13, pendekatan NTIS akan memberi tumpuan lebih besar kepada penskalaan penyelesaian yang telah terbukti serta pe­nerapan teknologi secara meluas merentas kementerian, agensi dan negeri.

“Skim geran NTIS telah distrukturkan semula bagi mengalihkan fokus kepada penyelesaian yang mempunyai bukti keberkesanan, potensi pasaran dan kesediaan untuk diterapkan di peringkat nasional,” ujarnya.

Menurut Lih Kang lagi, NTIS juga berjaya meningkatkan visibi­liti global negara melalui kerjasama dan misi penanda aras ke negara seperti Jerman, Korea Selatan, Thailand, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu.

“Terbaharu, NTIS menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan Pingat Emas Anugerah Stevie Asia Pasifik Ke-13 Tahun 2026 bagi kategori Inovasi dalam Pengurusan Teknologi, Pe­rancangan dan Pelaksanaan bagi sektor Kerajaan, yang mengiktiraf keunggulan model sandbox NTIS termasuk pendekatan fasilitasi re­gulatori yang tersusun serta kerjasama bersepadu merentas agensi,” katanya.

Impak sebenar

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Ashran Ghazi berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) me­lancarkan NTIS ketika kemuncak pandemik Covid-19, sebagai satu intervensi strategik nasional dalam memastikan aktiviti teknologi dan inovasi terus bergerak aktif.

Jelasnya, selaku sekretariat utama NTIS, peranan MRANTI adalah menterjemahkan mandat MOSTI kepada kapasiti penyampaian, menerusi pembangunan sistem kerja yang menyatukan empat kumpulan utama: inovator, pengawal selia, hos industri, dan pembina ekosistem.

Menerusi sinergi rakan sekretariat iaitu MIMOS Berhad sebagai penilai teknikal, Futurise dalam aspek intervensi kawal selia, serta Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) sebagai rakan pendanaan utama, NTIS telah memudahcara 523 syarikat pemula dan mencapai 48 intervensi kawal selia merentasi 19 kementerian.

Ashran optimis NTIS mampu merapatkan jurang penukaran daripada input inovasi kepada output inovasi.

“Pada masa sama, inovasi hanya akan ‘hidup’ apabila ia keluar dari makmal dan melepasi ujian dunia sebenar, dan NTIS telah berjaya menghasilkan impak nyata.

“Antaranya melalui Sandbox Pertanian NTIS bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), pelbagai teknologi telah diuji di atas tanah berskala 15 hektar termasuk pembangunan 23 rumah hijau, sekaligus membantu 13,000 komuniti peneroka mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manual.

“Projek rintis di Felda Mempaga ini membawa kepada kepelbagaian aktiviti ekonomi untuk belia Felda termasuk penggunaan teknologi sensor, proses pembajaan moden, penggunaan nanoteknologi dalam pertanian dan aplikasi dron di ladang.

“Semua ini memberi nafas baharu kepada belia Felda dalam menerajui perkembangan usahawan pertanian pintar,” katanya.

Asharan menambah, sambil meraikan pencapaian NTIS, simposium tersebut turut membincangkan langkah seterusnya dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menje­lang tahun 2030.

“Jika kita merujuk kepada Global Innovation Index (GII) 2025, Malaysia berada di kedudukan ke-30 untuk input inovasi, namun di tangga ke-39 bagi output inovasi.

“Perbezaan ketara ini menunjukkan satu cabaran kritikal: kita mempunyai idea dan bakat yang hebat, tetapi wujud jurang penukaran untuk mengkomersialkannya menjadi hasil pasaran yang mampan.

“Di sinilah NTIS memainkan pe­ranan kritikal untuk menutup jurang penukaran, sekaligus membantu teknologi tempatan berkembang dan berjaya dikomersialkan di dalam dan luar negara,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN