SHAH ALAM – Tiada keperluan segera bagi merehatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebaliknya menyerahkan kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk melakukan siasatan terlebih dahulu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan proses siasatan dijalankan secara telus dan adil.
“Sekarang biar Jawatankuasa Khas itu kaji dulu, kes kena tahu dulu. Apakah serius dan ada asas?
“Jangan oleh kerana kita menjadi mangsa atau pun tertekan terus nak guna peluang ini nak tekan, tak boleh. Jadi biar-biar teliti, baru-baru pagi tadi yang kita bincang (mengenainya),” katanya kepada ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Pusat Islam, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam Baki yang didakwa memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Beliau turut menegaskan tidak mahu siasatan tersebut mengganggu peranan SPRM keseluruhannya.
“Ini kerana tertentunya ada usaha-usaha untuk mengekang, terutama bila mereka agak lebih tegas dan keras dengan mengambil tindakan terhadap perasuah ini.
“Jadi, ramai pihak-pihak yang ada kepentingan dengan melindungi perasuah-perasuah ini dengan guna ini,” jelasnya.
Justeru, Anwar memaklumkan terdapat dua kes berbeza dalam isu tersebut iaitu melibatkan kajian atau pun siasatan yang dikendalikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar selain tiada orang menganggap ia sebagai usaha untuk melindungi perasuah.
“Seperti saya lihat di Parlimen dan di luar Parlimen, di kalangan orang politik setengah-setengah badan bukan kerajaan. Paling minimum, tekanan terhadap soal perasuah ini sangat minima dalam negara kita.
“Malah dalam kes-kes profil besar pun hampir tidak ada sokongan. Sebab itu saya tegaskan kepada SPRM, jangan peduli pandangan-pandangan yang lain sebaliknya menjalankan tugasnya dengan berani dan tegas.
“Negara ini mesti diselamatkan dari angkara durjana rasuah yang merebak menyeluruh sekarang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














