fbpx
PASUKAN Forensik IPK Johor melakukan siasatan di lokasi pembunuhan seorang wanita Rohingya di sebuah rumah sewa di Kampung Makam, Kota Tinggi hari ini. Foto MASTURAH SURADI/KOSMO!

Suami hentak kepala isteri guna lesung batu sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan ditemukan maut dalam kejadian menyayat hati di dalam sebuah bilik rumah sewa di Kampung Makam di sini dipercayai dibunuh suaminya sendiri awal pagi tadi.

Mangsa yang berusia 34 tahun dijumpai tidak bernyawa dan berlumuran darah kira-kira pukul 7 pagi.

Menurut pemilik rumah, Atikah Sulaiman, 44, suami mangsa datang ke rumahnya pada waktu subuh dalam keadaan tenang sambil memimpin tangan anak sulungnya yang berusia empat tahun.

“Dia nampak macam biasa sahaja, bajunya bersih, tidak ada ada kesan darah siap minum air kotak lagi dengan anaknya. Dia beritahu hendak buat laporan sebab isterinya ada lelaki lain dan mendakwa bayi yang dikandung wanita itu bukan anaknya.

“Saya tanya mana isteri? Dia beritahu isteri ada dalam bilik, dia sudah mati (bunuh). Saya sangka dia bergurau. Suspek kemudian pergi ke biliknya dan menunjukkan keadaan isterinya yang sudah berlumuran darah dan tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Atikah berkata, pasangan suami isteri itu sudah lima tahun menyewa di rumah tersebut dan mempunyai seorang anak perempuan. Mangsa dan suaminya baru dua bulan pulang ke daerah ini selepas menetap di Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan penyakit suspek.

“Dahulunya suami mangsa bekerja sebagai pemotong rambut, tetapi lepas balik sini (Kota Tinggi) dia tidak bekerja. Isterinya memaklumkan suaminya mempunyai penyakit mental dan mereka melakukan rawatan di Kuala Lumpur.

“Sepanjang tinggal di sini, suspek tidak pernah membuat kacau, isteri juga baik dan mereka tidak pernah culas membayar sewa rumah. Bahkan jiran-jiran juga tidak mendengar pasangan itu bergaduh atau bunyi bising pagi tadi,” katanya.

Tambah Atikah, susulan kejadian itu, suaminya membuat laporan kepada polis dan suspek pula hanya serah diri ketika ditahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, dalam kejadian pukul 3 pagi itu, mangsa yanng merupakan etnik Rohingya ditemukan tidak bernyawa dengan kesan hentakan di kepala.

Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7 pagi. Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala akibat dihentak dengan objek tumpul dipercayai lesung.

“Bertindak atas maklumat, kita menahan seorang lelaki Rohingya berusia 35 tahun di sekitar lokasi kejadian pada pukul 7.30 pagi. Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN