PETALING JAYA – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Kempen Ramadan bagi tahun 1447H/2026M kelmarin bagi menggalakkan umat Islam menyempurnakan kewajipan berzakat, di samping mempromosi perkhidmatan, saluran bayaran serta program menarik sepanjang Ramadan.
Mengangkat tema ‘Ikhlas Memberi, Tulus Membantu’, kempen tersebut bertujuan menanam nilai memberi dengan penuh keikhlasan, agar setiap sumbangan dapat memberikan manfaat berpanjangan khususnya kepada golongan asnaf.
Antara keunikan kempen kali ini ialah PPZ-MAIWP membawakan Ikhlas.com & Friends yang terdiri daripada Nunha, Airali, Petit Moi, BMO, Zora Designer dan Maison Toha sebagai rakan strategik utama.
Ikhlas.com merupakan salah satu daripada ejen kutipan zakat PPZ-MAIWP dan menerusi kolaborasi ini, pembayar zakat harta PPZ-MAIWP berpeluang memperoleh baucar diskaun eksklusif yang boleh digunakan untuk pembelian barangan pilihan mereka.
Selain itu, kempen yang berlangsung dari 19 Februari hingga 20 Mac 2026 ini turut disokong rakan kolaborasi lain iaitu Iman Pro, Beauboss, Khatam dan Chef Kecik, yang masing-masing bakal menawarkan hadiah dan tawaran menarik khusus buat pembayar zakat PPZ-MAIWP.
Turut ditampilkan ialah pelbagai program dan aktiviti khas sepanjang Ramadan termasuk podcast/live bersama pempengaruh dan panel daripada pelbagai latar belakang, dan program Sis on the Move menerusi sesi usrah dan iftar khas bersama selebriti.
Pada masa sama, hasil kolaborasi bersama Ikhlas.Com, program Turun Padang akan turut diadakan bagi menyantuni asnaf terpilih di sekitar Wilayah Persekutuan, selaras dengan usaha kempen iaitu bagi menanam semangat memberi sepanjang Ramadan. – KOSMO! ONLINE














