fbpx
Antara hantaran yang dimuatnaik di Facebook rasmi Bersatu yang mendesak pengunduran presiden sendiri.

Facebook Bersatu ‘serang’ presiden sendiri, Muhyiddin diasak berundur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Akaun Facebook rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia tular apabila memuat naik beberapa hantaran bertali arus yang secara terbuka mengkritik presidennya sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus memperlihatkan kemelut dalaman parti itu semakin meruncing.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, dalam tempoh kurang sejam, beberapa grafik dan kenyataan keras dimuat naik antaranya mendakwa Muhyiddin gagal mengawal kepimpinan, dipengaruhi dalam urusan disiplin parti serta menjadi punca hubungan Bersatu-Pas terjejas.

Antara hantaran yang menarik perhatian apabila Bersatu secara terbuka menyatakan Muhyiddin perlu berundur kerana gagal menyelesaikan kemelut dalaman, selain menuduh Lembaga Disiplin parti salah guna kuasa dan dipengaruhi kepimpinan tertinggi.

Lebih mengejutkan, satu lagi hantaran mendakwa seramai 18 Ahli Parlimen Bersatu menyokong Tan Sri Muhyiddin berundur, sekali gus memberi gambaran jelas bahawa tekanan terhadap bekas Perdana Menteri itu bukan lagi bersifat terpencil.

Rentetan siri hantaran tersebut, ruang komen Facebook Bersatu dibanjiri reaksi netizen yang rata-ratanya terkejut dengan pendekatan terbuka parti itu ‘menyerang’ presidennya sendiri, sesuatu yang jarang berlaku dalam landskap politik negara.

Orang ramai turut menyifatkan tindakan menggunakan platform rasmi parti untuk melontarkan kritikan dalaman sebagai petanda perpecahan serius dalam Bersatu, sekali gus berpotensi memberi kesan besar terhadap hala tuju parti menjelang percaturan politik seterusnya.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi balas daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung siri hantaran berkenaan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN