KLANG – Peniaga di Selangor masih mengambil kesempatan meraih untung mudah apabila sebanyak 257 kes gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu direkodkan sepanjang musim perayaan tahun lalu.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, ia merupakan kesalahan terbanyak direkodkan daripada 265 kes yang diambil tindakan berdasarkan statistik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“SHMMP meliputi Tahun Baharu Cina, Aidilfiri, Deepavali dan Krismas itu melibatkan pemeriksaan ke atas 2,230 premis dengan sitaan berjumlah RM4,370 serta kompaun RM30,900.
“Segelintir peniaga mengambil kesempatan tidak meletakkan tanda harga khas dan kegagalan itu boleh menyebabkan penipuan,” katanya pada sidang akhbar selepas pemeriksaan SHMMP Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Dalam pada itu, kata beliau, SHMMP Tahun Baharu Cina menawarkan pengguna di Selangor menikmati 15 jenis barangan pada harga terkawal dan penjimatan menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM). – KOSMO! ONLINE














