LONDON – Pengurus Manchester United, Michael Carrick gembira tuah masih lagi memihak kepadanya selepas berjaya mencuri satu mata penting ketika seri 1-1 bertemu West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium London itu, United yang memburu kemenangan kelima berturut-turut di bawah kendalian Carrick terpaksa bangkit untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan hasil penyudah penyerang gantian, Benjamin Sesko.
Carrick mengakui gembira dengan impak dipamerkan Sesko memandangkan ini adalah gol lewat daripadanya buat kali kedua selepas aksi menentang Fulham yang berkesudahan 3-2 awal bulan ini.
“Penyudah Sesko sangat luar biasa kerana ia daripada sudut yang sukar tetapi tepat pada sasaran. Kami semua yakin dia memiliki kebolehan untuk melakukan perkara itu dan saya langsung tidak terkejut.
“Cuma, mengenai peluang untuknya diserap dalam kesebelasan utama, saya rasa kita perlu cari keseimbangan dalam pasukan. Ini kerana saya rasa semua pemain yang diturunkan telah beraksi dengan baik,” katanya.
Mengulas mengenai keputusan, Carrick menganggap satu mata cukup positif memandangkan pasukannya berada di ambang kekalahan terutama apabila skuad The Hammers beraksi dengan begitu kompetitif.
“Kami tidak berada pada prestasi terbaik dan West Ham wajar diberi pujian. Apa yang pasti, empat kemenangan dan satu seri daripada lima perlawanan adalah satu pencapaian yang positifs” katanya. – AGENSI














